Jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei, mendapat dua berita gembira dalam tempoh seminggu, dia bukan saja berpeluang menyertai Sukan SEA Vietnam untuk mempertahankan pingat emas dimenangi dua tahun lalu malah dibenarkan menjalani latihan sejak disahkan positif Covid-19, bulan lalu.

Keputusan Jawatankuasa Pemilihan Atlet Majlis Olimpik Malaysia (MOM) membenarkan atlet muda dan senior ke Sukan SEA Vietnam membuka peluang untuk Hup Wei mencapai impian dalam temasya itu.

"Sasaran saya masih lagi belum dicapai iaitu memecahkan rekod dalam Sukan SEA dan berharap untuk melakukan kali ini," kata Hup Wei.

"Ia adalah memastikan Malaysia dapat memegang rekod tersebut sekaligus memberikan semangat buat barisan atlet-atlet muda."

Dia meraih empat emas dalam enam penampilan Sukan SEA namun semua itu belum cukup memuaskan hati.

Ketika ini, Hup Wei berkongsi rekod Sukan SEA bersama Loo Kum Zee dan Nauraj Singh dengan 2.24 meter.

Berita baik apabila jaguh berusia 34 tahun itu dibenarkan berlatih di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil dengan kawalan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat.

"Saya akan kembali membuat latihan penuh minggu depan."