Bekas Juara Universal WWE, Kevin Owens seakan menerima badi malang bertimpa-timpa selepas tewas di tangan Goldberg di acara Fastlane minggu lalu. Kali ini, beliau menjadi mangsa belasahan kepada lawan Goldberg di Wrestlemania, iaitu Brock Lesnar.

Perlawanan antara Owens dan Lesnar telah berlangsung di sebuah acara live event di Madison Square Garden beberapa jam lalu. Perlawanan yang tidak disiarkan di TV ini berjalan dalam tenpoh kurang tiga minit, apabila Owens gagal mengekang serangan bertali arus daripada The Beast.

Owens bermula garang dengan melancarkan serangan di minit-minit pertama perlawanan. Sempat menghadiahkan Lesnar beberapa gerakan berbisa seperti running cannonball dan hempasan senton dari puncak gelanggang, namun ia belum cukup untuk melemahkan Lesnar.

Kesilapan bermula apabila Owens memanjat puncak tali gelanggang sekali lagi untuk melakukan terjahan moonsault. Lesnar bingkas bangkit dan terus memeluk Owens dari belakang dan gerakan suplex city pertama dilakukan.

Empat suplex berjaya dilaksanakan bertalu-talu membuatkan Owens lelah tidak berdaya. Satu gerakan suplex cuba dihadang oleh Owens, namun cekak leher ala UFC dikenakan, membuatkan Owens terpaksa tabah menerima suplex terakhir sebelum terlantar tidak bermaya dengan satu gerakan pusingan beliung F5 oleh Lesnar.

Sekali lagi, rekod Owens selaku Juara Universal paling lama dalam sejarah tercalar apabila beliau tewas dalam tempoh kurang 3 minit, lebih kurang sama seperti yang dialami ketika menentang Goldberg minggu lalu.

Anda boleh saksikan video rakaman amatur perlawanan penuh di bawah:



Rusev akan terlepas Wrestlemania?

F4WOnline melaporkan yang bintang Bulgaria WWE, Rusev dijangka akan berehat untuk beberapa minggu akan datang kerana kini sedang bergelut dengan kecederaan bahu dan perlu menjalani pembedahan sedikit masa lagi.

Perkara ini didedahkan sendiri oleh The Big Show semasa berinteraksi dengan peminat di sebuah acara live event yang berlangsung baru-baru ini. Bintang gergasi itu telah ditanyakan mengapa perlawanannya dengan Rusev berlangsung dalam tempoh yang singkat di acara Fastlane yang lalu.



Ujar Big Show, ia berlangsung sedemikian rupa kerana tidak mahu mencederakan Rusev yang akan menjalani pembedahan bahu dan enggan mendatangkan kecederaan yang lebih serius kepada bekas Juara Amerika Syarikat WWE itu.

Sejak sengketanya bersama Enzo Amore berakhir beberapa bulan lepas, Rusev tidak diberi sebarang peranan penting dan hanya terlibat dalam perlawanan-perlawanan pengisi slot dengan bergandingan bersama Jinder Mahal.

Rusev new haircut

Dengan acara Wrestlemania yang berbaki kurang tiga minggu dari sekarang, tidak mustahil Rusev yang kini tampil dengan imej terbaharu berambut pendek bakal terlepas untuk beraksi di acara gilang gemilang tersebut.

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan kesemua acara WWE Pay-Per-View termasuk Wrestlemania secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro & Astro On-the-Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 19,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.