Pemain tenis wanita Amerika Syarikat, Venus Williams, mengesahkan tempatnya dalam separuh akhir Terbuka Amerika Syarikat selepas menundukkan cabaran wakil Republik Czech, Petra Kvitova.

Pemenang dua kali kejohanan itu menewaskan Kvitova 6-3, 3-6, 7-6 (7-2) untuk memastikan tempatnya dalam kelompok empat terakhir buat kali kesembilan.

Kvitova menewaskan juara Wimbledon 2017, Garbine Muguruza, ketika pusingan kedua dan tampak mahu mengulangi skrip sama ketika turun menentang Venus.

Dia mendahului 3-1 di awal permainan, namun Venus mempamerkan kebangkitan untuk memenangi set pertama 6-3.

Kvitova berjaya menjadikan perlawanan kembali seimbang apabila memenangi set kedua 6-3, namun terpaksa akur dengan keunggulan Venus dalam aksi seterusnya, sekaligus tewas 7-6 (7-2).

Venus bakal berentap dengan rakan senegara, Sloane Stephens, dalam separuh akhir sebelum memastikan tempatnya dalam final.