Ketua jurulatih skuad hoki negara, Stephen Van Huizen, berasa tidak bimbang walaupun skuad negara sekadar mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas skuad pembangunan dalam aksi persahabatan, malam tadi.

Dalam kemenangan hasil gol tunggal daripada Najmi Farizal Jazlan itu, Van Huizen tidak gusar mengenai jumlah gol yang dijaringkan menjelang separuh akhir Liga Dunia di London, England, bermula 15 Jun ini.

Biarpun skuad hoki negara tampak lambat panas, namun Van Huizen tetap yakin dengan perancangannya.

“Saya tidak hiraukan keputusan kerana sasaran saya adalah untuk meraih kualiti permainan yang bagus dan membiasakan pemain-pemain untuk beraksi di bawah tekanan,” kata Van Huizen.

Malaysia bakal ke London pada 7 Jun ini bagi mengadakan siri aksi persahabatan menentang Kanada, skuad pembangunan England serta Wales.

Sementara itu, pemain skuad pembangunan Malaysia, Muhammad Najib Abu Hassan, menjelaskan rakan sepasukannya hanya cuba membantu serta cuba mendapatkan ilmu daripada perlawanan persahabatan tersebut.

“Kami mahu memberi saingan sebagai persediaan skuad senior untuk perlawanan di London nanti, jadi kami hanya membantu untuk mereka meraih kualiti yang diharapkan,” ujar Najib.