Ketua jurulatih hoki negara, Stephen Van Huizen, akan menggunakan tempoh empat bulan ini memastikan tahap kecergasan anak buahnya berada dalam keadaan terbaik menjelang aksi pusingan separuh akhir Liga Dunia.

Bagi Van Huizen, tempoh persiapan selama empat bulan tidaklah begitu panjang dan perlu diambil serius bagi mempersiapkan diri sebelum bermulanya aksi separuh akhir Julai depan.

Beliau menekankan aspek kecergasan pemain untuk berada di tahap terbaik selain turut memberikan fokus memperbaiki pukulan sudut penalti yang dilihat masih kurang memberangsangkan.

"Selepas kami tiba di Malaysia, kami akan kembali menjalani latihan kecergasan dan selepas itu kembali membuat persiapan menjelang Liga Hoki pusingan ketiga," katanya.

Van Huizen percaya Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah bermula 27 April ini sekurang-kurangnya dapat menjadi persiapan awal mereka sebelum terbang ke London atau Johannesburg nanti.

Skuad negara hanya diberi rehat selama seminggu selepas kembali ke tanah air dan kepulangan mereka disambut meriah sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

"Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah dianggap sebagai salah satu persiapan kami sebelum beraksi dalam Liga Dunia, kami akan cuba memperbetulkan setiap kekurangan kami di Dhaka, kami berjanji akan meningkatkan mutu permainan," katanya lagi.