Malaysia mencipta sejarah selaku negara pertama mempertahankan kejuaraan pusingan kedua Liga Dunia, namun apa yang lebih menggembirakan ketua jurulatih negara, Stephen van Huizen, kejayaan itu diraih tanpa beberapa tonggak utama.

Tanpa Faizal Saari, Firhan Ashaari, Mohd Haziq Shamsul dan penjaga gol, S. Kumar, Malaysia masih mampu muncul juara.

Tahniah buat pemain skuad pembangunan seperti Najmi Farizal Jazlan, Nik Mohd Aiman Nik Rozemi, Mohd Ramadan Rosli dan penjaga gol, Mohd Hairi Abd Rahman, yang cemerlang di Dhaka, Bangladesh.

Ini bukti mereka layak berada dalam skuad utama negara menjelang kejohanan terdekat, Piala Sultan Azlan Shah, bulan depan.

"Mereka ini kurang mendapat perhatian kerana pemain senior lain yang sering beraksi dalam Piala Dunia.

"Kami memiliki pemain muda yang bagus dan beberapa pemain senior di Malaysia, jadi secara keseluruhan kami memiliki skuad yang mantap," jelas Van Huizen.

The Malaysian Hockey Tigers mempamer kebangkitan menakjubkan pada suku terakhir selepas ketinggalan dua gol kepada China dalam babak pertama sebelum jaringan penyamaan oleh Shahril Saabah dan Najmi mengheret perlawanan ke penentuan pukulan penalti.

Penjaga gol negara, Mohd Hafizuddin Othman, muncul wira menafikan percubaan Meng Dihao sebelum Fitri Saari mengesahkan kemenangan negara.

"Malaysia bermain lebih baik pada suku terakhir. Malah, mereka cukup tajam dalam kawasan D.

"Saya menghormati mereka sebagai sebuah pasukan hebat dan saya ucapkan tahniah," kata jurulatih China, Cui Yingbiao.