Dunia gusti profesional dikejutkan apabila lagenda gusti Vader telah menghembuskan nafasnya yang terakhir semalam pada usia 63 tahun.

Pemergian Vader atau nama sebenarnya Leon White diumumkan oleh anak lelakinya melalui laman Twitter dan turut menerima ucapan takziah oleh pihak WWE.

Sejak 2016, Vader telah bergelut dengan beberapa siri kegagalan jantung dan pernah menjalani pembedahan sebanyak dua kali untuk mengatasi penyakit tersebut. Namun ia sesekali tidak mematahkan semangatnya untuk terus menghiburkan para peminat dan pernah mengungkapkan yang beliau sanggup mati di dalam gelanggang gusti.

Namun serangan pneumonia yang menyebabkan beliau terlantar di hospital sejak beberapa bulan lalu tidak lagi dapat ditanggung dan penggusti kelahiran Lynwood, California ini, lantas disahkan meninggal dunia lewat malam semalam.

Mula bergusti secara profesional sejak 1985, Vader telah menongkah arus dengan tampil berbeza daripada penggusti berbadan gempal lain. Walaupun mempunyai berat lebih 400 paun, namun beliau mampu mempamerkan aksi akrobatik mengagumkan seperti gerakan penyudah Vadersault, iaitu hempasan kuak dari tali paling atas gelanggang.

Sepanjang kariernya, Vader telah berjaya bergelar Juara Heavyweight Dunia IWGP di Jepun dan WCW sebanyak tiga kali sebelum menyertai WWE pada tahun 1996. Dianggap sebagai antara bintang gergasi terbaik sepanjang zaman, Vader pernah mencipta konfrontasi dengan nama-nama besar seperti Sting, Ric Flair, Hulk Hogan, Shawn Michaels dan The Undertaker.

Paling diingati, pertemuannya dengan Cactus Jack (Mick Foley) ketika satu acara yang berlangsung di Munich, Jerman pada 16 Mac 1994 apabila perlawanan ganas tersebut berakhir dengan telinga Foley terputus akibat tersangkut pada tali gelanggang.

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan acara WWE Extreme Rules pada 16 Julai 2018 dan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand