Meskipun meraih kemenangan meyakinkan dalam perlawanan pertama, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) tetap berwaspada dengan ancaman Tenaga Nasional Berhad (TNB) apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam saingan Liga Premier, TNB Liga Hoki Malaysia esok.

UniKL dilihat memperoleh keyakinan tinggi selepas membelasah Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) 5-0 dalam aksi pertama, namun TNB juga tidak mengecewakan apabila membenam TNB Thunderbolt 6-1.

Kemenangan besar itu, bagaimanapun, tidak meletakkan ketua jurulatih UniKL, Arul Selvaraj, berada dalam situasi selesa, sebaliknya beliau menggesa barisan
pemainnya untuk kekal fokus bertemu TNB.

"TNB adalah sebuah pasukan yang bagus dan dibarisi ramai pemain muda. Ini menyebabkan semangat barisan pemain mereka sangat tinggi dan tidak pernah mengenal erti putus asa sehingga tamat perlawanan.

"Mereka juga pastinya meletakkan sandaran tinggi kepada penjaga gol berpengalaman, S. Kumar, selain pakar pukulan sudut penalti, Shahril Saabah.

"Kehadiran Faiz Helmi Jali pada musim ini juga memberi impak yang besar kepada TNB.

"Kami tidak boleh memberi sebarang ruang kepada lawan untuk melakukan serangan balas," katanya.

Jelas Arul lagi, kehadiran Marhan Jalil dalam pasukan UniKL juga banyak memberi impak besar kepada mereka.

"Marhan adalah seorang pemain berkaliber dan mampu menjadi pemimpin di atas padang.

"Sebab itulah, kami mengambil keputusan untuk mengikat kontraknya selama tiga tahun.

"Saya sudah nampak kredibilitinya dalam perlawanan pertama dan harap dia dapat meneruskan aksi terbaik dalam perlawanan seterusnya," katanya.

Sementara itu, tiga lagi perlawanan lain turut berlangsung esok.

Terengganu Hockey Team (THT) yang baru berdepan kekecewaan tewas kepada Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) untuk perebutan Piala Sumbangsih, akan melayan kunjungan UiTM-KPT di Stadium Hoki Batu Burok manakala Maybank akan bertemu SSTMI di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Melaka.

KLHC yang berjaya mempertahankan Piala Sumbangsih buat kali keempat berturut-turut pasti lebih bersemangat untuk menewaskan TNB Thunderbolt di Stadium Hoki Pantai.

Liga Premier

Esok (Ahad – 15 Jan, 2017)

THT lwn UiTM-KPT, 5.00pm (Std Hoki Batu Buruk)

UniKL lwn TNB, 4.00pm (Std Hoki Pantai)

Maybank lwn SSTMI, 6.00pm (Std Hoki MBMB)

KLHC lwn TNB Thunderbolts, 6.00pm (Std Hoki Pantai)