Universiti Teknologi Mara (UiTM) bangkit daripada ketinggalan untuk muncul juara Kejohanan Boling Padang Antarabangsa Terengganu dengan menewaskan Sarawak 12-10 dalam perlawanan akhir di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus, semalam.

Mohamad Ikmal Imran Mohamad Rosli, Muhammad Alif Saufi Shaifudin, Aqmal Budriz Mustakim dan Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman berada di ambang kekalahan apabila mata 10-4 berpihak kepada Sarawak.

Mereka mempamerkan semangat juang tinggi untuk mengecewakan lawan yang dibarisi Syaza Nisrina Muntaz Wan Jemudin, Mohd Amirul Hafizi Jafar, Nur Fitrah Rosmadi dan Abdul Rahman Aminudin.

Selaku juara, UiTM membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 manakala Sarawak terpaksa berpuas hati dengan RM5,000.

Jurulatih UiTM, Hasnah Hassan, berkata kejuaraan itu adalah hasil semangat berpasukan yang jitu dan sikap tidak menyerah kalah sejak peringkat kumpulan, sambil mengakui pengalaman atletnya menjadi pemisah dalam aksi final.

Menurutnya lagi, mereka menunjukkan kombinasi yang baik selain yakin dengan kemampuan satu sama lain untuk mengalahkan pasukan lawan.

“Kekuatan semua pasukan seimbang, malah kami sudah bertemu Sarawak pada peringkat kumpulan dan mereka hanya tewas dengan satu balingan.

“Ini adalah acara empat sebelah, tempoh perlawanan agak panjang, jadi ia memerlukan kerjasama kukuh dan kami membuktikannya dengan bangkit di ambang kekalahan pada separuh akhir serta perlawanan akhir,” katanya.