Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sedia bekerjasama dengan Institut Sukan Negara (ISN) menaik taraf terowong angin sedia ada bagi membantu perjuangan juara keirin dunia, Azizulhasni Awang memburu pingat emas sulung Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Jika kami dapat memperoleh teknologi ini ia akan memberikan kelebihan buat Azizulhasni sebagai persiapan meraih pingat emas di Sukan Olimpik," kata ketua pegawai eksekutif ISN, Datuk Dr Mohd Khairi Zawi.

UIAM sudah memiliki terowong angin sejak 2009 dibina dengan kos RM11 juta.

Teknologi ini lebih banyak menguji kesan aerodinamik kenderaan dan belum pernah digunakan terhadap atlet negara.

Pengubahsuaian perlu dilakukan namun apa yang penting, UIAM sedia bekerjasama untuk membantu Azizul dan kontinjen negara memburu emas sulung Olimpik Tokyo.

"Kami sedia menerima kerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan untuk menggunakan kemudahan ini, secara tidak langsung kami dapat mencari penambahbaikan terowong angin ini," jelas pemangku dekan kuliyyah kejuruteraan UIAM, Professor Erry Yulian Adesta.

ISN serta Kementerian Belia dan Sukan merancang pembinaan terowong angin bernilai RM30 juta namun ia masih di peringkat perbincangan.

Jika kerjasama ini berjaya, ia pasti dapat menjimatkan banyak dana kerajaan.

Beberapa negara kuasa besar basikal dunia seperti Great Britain, New Zealand, Australia dan China sudah lama memiliki terowong angin untuk membantu persiapan pelumba mereka.