Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Imran Tuanku Ja'afar, memberi peringatan kepada atlet muda negara agar menjauhi segala perkara tidak sihat, terutama membabitkan kegiatan mengatur perlawanan dan doping.

Arena sukan negara baru-baru ini dikejutkan dengan insiden dua pemain badminton profesional tempatan terbabit dengan skandal mengatur perlawanan.

Dibawa ke muka pengadilan untuk tindakan lanjut, karier kedua-dua pemain itu tampak sudah berakhir tatkala isu doping masih melanda, yang terbaru melibatkan pemain bola sepak, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Tunku Imran menegaskan gejala tidak sihat itu harus dibendung pada peringkat awal supaya ia tidak menjadi barah kepada atlet muda negara.

"Kami mengharapkan ia sudah tiada lagi, tetapi tidak. Saya harap kita harus bimbang agar ia tidak merebak kepada atlet muda, di mana kita enggan menyaksikan kegiatan seperti mengatur perlawanan," katanya.

Terdahulu, Tunku Imran menyempurnakan majlis pembiayaan individu daripada Yayasan Kecemerlangan Sukan Malaysia (SportExcel) di Bukit Jalil, semalam.

Pembiayaan berjumlah RM57,000 itu membabitkan seramai 43 penerima daripada beberapa jenis sukan, antaranya kriket, golf, taekwondo dan berbasikal yang menjadi sukan tambahan dalam kalendar SportExcel tahun ini.