Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Imran Tuanku Ja'afar, berharap atlet tidak terus diukur dengan pencapaian semata-mata, sebaliknya menuntut pelbagai pihak melihat kegigihan mereka dalam laluan menggapai kejayaan.

Tunku Imran sentiasa diingati di atas ucapannya meraikan sumbangan atlet tanpa mengira sebesar atau sekecil mana sumbangan mereka.

Tampil dalam program Nadi @1 Astro Arena hari ini, beliau berkata, "Sebahagiannya adalah kerana media selain ahli politik yang menuntut emas. Bagi saya, atlet telah membuat yang terbaik jika anda melihat usaha yang telah mereka curahkan secara dekat demi negara.

"Kemudian, barulah anda akan sedar bahawa semuanya bukan semata-mata kerana medal.

"Semua atlet seharusnya diiktiraf kerana sesetengah pingat emas lebih mudah untuk dimenangi kerana faktor pencabar.

"Ada gangsa yang dimenangi dengan mengalahkan pencabar handalan. Saya berikan anda contoh seperti pingat gangsa yang dimenangi Azizulhasni Awang dalam Sukan Olimpik Rio.

"Pencapaiannya setaraf dengan pingat perak kerana dia perlu melalui permulaan yang dibatalkan, perlu mengalahkan juara dunia dan dia mempunyai sikap terpuji dalam kalangan atlet.

"Ia sesuatu yang akan dikenang dan saya harap ia menjadi budaya untuk menerimanya," ujar beliau yang tidak akan mempertahankan jawatan presiden MOM yang disandangnya sejak 1998.

"Dalam apa-apa kejohanan sekalipun, saya sentiasa mempunyai kenangan manis. Tiadalah istilah pahit apabila seseorang itu dengan secara sukarelanya mengundurkan diri.

"Saya mahu melakukannya (dalam Sukan Komanwel), saya sedar ia temasya sukan terakhir saya.

"Oleh yang demikian, saya menikmatinya kerana berpeluang bertemu rakan-rakan lama dan akan terus mengunjungi mereka.

"Saya sudah bertanggungjawab dalam lima temasya Sukan Olimpik dan Sukan Komanwel selain Sukan SEA dan Sukan Asia.

"Jadi, saya mengenali ramai atlet. Saya sukar untuk menamakan secara individu tetapi daripada lima temasya Sukan Komanwel, atlet kita benar-benar menyerlah ialah di Sydney dan London. Ia berjalan dengan cukup lancar dan istimewa.

"Begitupun, Sukan Komanwel di Glasgow adalah yang paling diingati kerana kejadian (acara pembukaan) ketika cuba membuka baton, malah Ratu Elizabeth II turut bingung tetapi ia berakhir dengan baik. Ia sesuatu yang sukar dilupakan.

"Apapun saya masih tetap dalam sukan, ia sebahagian diri dan kehidupan saya," tambahnya.