Juara Asia dua kali, Azlan Shah Kamaruzaman, berdepan tugas mencabar dalam usaha untuk mempertahankan gelaran juara SuperSports 600cc apabila turun beraksi dalam pusingan ketiga Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) di Litar Suzuka, Jepun, dari 1 hingga 3 Jun ini.

Pelumba Manual Tech KYT Kawasaki Racing itu memulakan kempen musim 2017 dengan baik apabila meraih dua podium sewaktu pusingan pembukaan di Thailand, namun masalah mekanikal menjadi penghalang sewaktu di Australia hingga menyebabkan Azlan jatuh ke tangga ketiga dalam senarai keseluruhan ketika ini.

Lebih mencabar apabila jentera baharu yang digunakan pada musim ini masih belum berada pada tahap terbaik selain turut mengharapkan insiden kemalangan di litar Suzuka sepanjang dua tahun lalu tidak berulang.

"Litar Suzuka bukanlah litar kegemaran saya. Selain faktor bentuk teknikal litar, nasib saya juga tidak begitu baik di sini," kata pelumba berusia 34 tahun itu.

"Saya berharap nasib saya lebih baik pada tahun ini. Kami juga telah mengadakan ujian persendirian di sini bersama jentera baharu Kawasaki Ninja ZX6R untuk mendapatkan lebih banyak data jentera bagi menjadikannya lebih kompetitif berbanding di Australia.

"Saya akan bekerja keras minggu ini untuk kembali ke podium. Mudah-mudahan semua akan berjalan lancar," katanya.