Tuduhan memandu di bawah pengaruh terhadap juara golf dunia 14 kali, Tiger Woods, ditangguhkan sementara untuk beberapa minggu.

Mahkamah Palm Beach County merekodkan tuduhan asal bertarikh 5 Julai telah dibatalkan dan pendengaran semula tuduhan akan dilakukan pada 9 Ogos serta dipersetujui oleh hakim, Sandra Bosso Pardo.

Woods ditahan pada 29 Mei lalu dan didakwa atas kesalahan memandu di bawah pengaruh (DUI) selepas ditemui sedang tidur di dalam kereta model Mercedes miliknya.

Woods yang memenangi anugerah Pemain Terbaik Tahunan Persatuan Golf Profesional (PGA) sebanyak 11 kali itu sebelum ini telah gagal dalam ujian kesedaran diri yang dilakukan terhadapnya.

Bagaimanapun, Woods menafikan dirinya berada di bawah pengaruh dadah, sebaliknya menyifatkan ia adalah kesan daripada ubat-ubatan yang diambil.