Berbaki dua bulan menjelang Sukan SEA Filipina, November depan, Majlis Sukan Negara (MSN) berdepan kejutan apabila Persatuan Ping Pong Malaysia (TTAM) bertindak drastik untuk menukar senarai pemain yang akan dibawa ke temasya dwitahunan itu.

Harapan Malaysia untuk meraih pingat emas menerusi acara beregu wanita kelihatan malap selepas gandingan pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel Gold Coast 2018, Ho Ying-Karen Lyne, digugurkan daripada senarai berkenaan.

Ia selepas TTAM mengambil keputusan untuk menggantikan tiga pemain dalam kategori A, iaitu Ho Ying, Karen dan Leong Chee Feng.

Ketiga-tiga pemain itu digantikan dengan atlet yang sebelum ini berada dalam kategori B, iaitu, Im Li Ying, Lee Xin Ni dan Ling Yi Heng.

"Pihak MSN agak kecewa memandangkan tiga pemain ping pong yang telah kami luluskan dalam Mesyuarat Jawatankasa Pemilihan MOM (Majlis Olimpik Malaysia) sebelum ini merupakan pemain terbaik yang pernah memenangi pingat dalam Sukan Komanwel dan beberapa kejohanan di luar negara.

"Ia akan menjejaskan hasrat pasukan ping pong untuk membawa pulang pingat daripada Sukan SEA," kata Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin.

Tambahnya, MSN akan sentiasa membantu dan menjaga kebajikan atlet demi kelangsungan karier mereka.

"Kami cuba mencari jalan tengah, beberapa kali berunding dengan pihak persatuan bagi menjaga kepentingan atlet memandangkan atlet ini sudahpun dipilih dalam Program Podium.

"Tetapi nampaknya pihak persatuan begitu keras untuk tidak memberi peluang buat mereka membuat rayuan dan sebagainya.

"Jadi, langkah seterusnya yang boleh atlet buat adalah mungkin merayu kepada pihak Menteri (Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman)," katanya lagi.

Difahamkan, MSN akan mengadakan pertemuan dengan TTAM esok demi menyelesaikan segala perkara berbangkit.