Stefanos Tsitsipas berkata bahawa dia hanya akan mengambil vaksin COVID-19 apabila ia diwajibkan untuk menyertai kejohanan dalam Jelajah Persatuan Tenis Profesional (ATP).

Pemain nombor tiga dunia itu mendedahkan bahawa dia belum mengambil sebarang suntikan untuk melawan koronavirus, yang menjadi perdebatan dalam dunia sukan tenis ketika ini.

ATP secara terbuka menggalakkan setiap pemain mengambil vaksin tetapi Novak Djokovic antara pemain berprofil tinggi yang menegaskan ia bukan satu keperluan untuk menyertai sesuatu kejohanan.

Ditanya dalam sidang media menjelang Masters Cincinnati sama ada dia akan mengambil vaksin atau tidak, Tsitsipas memberitahu media bahawa dia masih belum mahu mengambilnya.

"Tiada siapa memberitahu saya apa-apa, tiada siapa menjadikannya satu kewajiban untuk divaksinasi," kata pemain Greece itu.

"Pada satu tahap, saya perlu juga mengambilnya, saya amat pasti mengenai perkara itu tetapi setakat ini, ia belum diwajibkan untuk bertanding, jadi saya masih belum mahu mengambilnya."