Perjalanan kontinjen Malaysia dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang diakhiri dengan persembahan barisan atlet triatlon negara yang turun dalam acara berganti-ganti berpasukan campuran di Pusat Sukan Jakabaring, Palembang, hari ini.

Triatlon merupakan acara terakhir dipertandingkan dalam temasya kali ini.

Tidak seperti negara lain yang mempunyai peserta simpanan, Malaysia bergantung harap kepada empat peserta sedia ada, Irene Chong, Teoh Sue Ling, Ryan Tan dan Aldrian Yeo.

Format untuk acara berpasukan juga berbeza dengan acara individu apabila peserta perlu berenang sejauh 300 meter dan kemudiannya berkayuh sejauh 6.3km dan berlari sejauh 2.1km.

Irene yang memulakan saingan meletakkan Malaysia dalam kelompok hadapan apabila berada di posisi keempat, namun prestasi Malaysia mulai merosot.

Ia ekoran Ryan yang menjadi peserta kedua mengalami kekejangan otot di kaki, namun dua lagi peserta Malaysia, Sue Ling dan Aldrian, tidak mudah mengalah dan cuba untuk memperbaiki kedudukan keseluruhan.

Akhirnya selepas 1 jam 49:59 saat, skuad negara menghabiskan perlumbaan dan menduduki tangga ke-10.

Emas milik Jepun yang melakar 1'30:39s sementara Korea Selatab dan Hong Kong memungut perak dan gangsa.

"Saya bersungguh-sungguh dan tiada masa untuk memikirkan hal lain melainkan ingin mendekatkan jarak.

"Kami menikmati perlumbaan hari ini," kata Irene.

Ryan pula mengakui masih kepenatan dengan acara individu semalam dengan berkata: "Saya hanya mahu memberikan yang terbaik."