Trent Alexander-Arnold tidak tersenarai dalam skuad England biarpun menjadi antara pemain Liverpool yang mempamerkan standard permainan tinggi sepanjang waktu sukar skuad The Reds itu.

Gareth Southgate menyenaraikan 26 pemain yang dipilihnya bagi pusingan kelayakan Piala Dunia menentang San Marino, Albania dan Poland bulan ini.

Lima pertahanan sayap terpilih dalam senarai itu tetapi Alexander-Arnold, yang memenangi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan Liga Perdana Inggeris (EPL) sepanjang dua tahun ini, bukan sebahagian daripada mereka, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai peluangnya untuk beraksi dalam Euro 2020.

Pemain Manchester City, Kyle Walker, selain Reece James (Chelsea) dan Kieran Trippier (Atletico Madrid) dipilih untuk mengisi posisi yang sinonim dengan Alexander Arnold, iaitu pertahanan kanan, manakala bahagian kiri pula menyaksikan penyenaraian nama Ben Chilwell dan Luke Shaw.

Trippier baru sahaja menamatkan tempoh hukumannya selepas digantung oleh Premier League gara-gara melanggar undang-undang pertaruhan.

Bercakap mengenai pemilihannya, Southgate menganggap Alexander-Arnold "tidak bernasib baik" untuk berada dalam senarai itu sambil menggambarkan Matty Cash (Aston Villa) dan Luke Ayling (Leeds United) sebagai contoh betapa besarnya pilihan yang England ada di posisi pertahanan kanan.

"Terdapat beberapa posisi di atas padang di mana kami mempunyai persaingan yang cukup hebat untuk merebut tempat," kata Southgate dalam sidang media.

"Trent amat tidak bernasib baik. Beberapa minggu lalu, dia benar-benar mengambil langkah ke arah yang tepat. Reece dan Trippier amat luar biasa musim ini. Kyle berada di prestasi terbaik.

"Matty di Aston Villa, Luke di Leeds. Ia menunjukkan betapa kuatnya kami di posisi itu. Apa yang saya katakan kepada Trent -- saya melakukan perkara sama kepada Kyle dan Kieran sebelum ini dan respons mereka amat baik.

"Trent amat berbakat dan saya yakin dia akan memainkan peranan besar buat England pada masa akan datang. Kami boleh duduk di sini (untuk Euro) dan dia bersama kami," katanya.