Gimnas negara, Tracie Ang, mengambil keputusan bersara selepas gagal layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 berikutan kecederaan berpanjangan.

Atlet berusia 28 tahun itu berkongsi kejayaan paling manis sepanjang 15 tahun mewakili Malaysia bersama wakil Nadi Arena, Bazly Azmi, hari ini.

Dia sudah menghantar surat penarikan diri kepada Persekutuan Gimnastik Malaysia (MSF) dan Majlis Sukan Negara (MSN), kelmarin lalu.

Ia keputusan berat tetapi terpaksa dibuat selepas memikirkan mengenai faktor tubuh badannya.

"Saya sudah cuba sedaya upaya dalam kelayakan tetapi badan saya sudah mencapai hadnya. Saya sentiasa berikan yang terbaik tetapi peringkat kelayakan sudah pula dibatalkan.

"Oleh kerana pernah menjalani tiga pembedahan, jadi saya kena berhenti demi masa depan," katanya.





Sepanjang 15 tahun mewakili negara, detik terbaik Tracie ialah menerusi Kejohanan Siri Piala Dunia Gimnastik Artistik di Slovania 2016.

"Saya mencipta sejarah menjadi gimnas Malaysia yang memenangi medal dalam Piala Dunia, malah pingat emas pula.

"Masa itu Farah (Ann Abdul Hadi) dapat perak, keesokkan harinya saya dan Tan Ing Yueh menang emas.

"Jadi ia memang istimewa kerana mencipta sejarah," katanya.

Dia yang baru tamat pengajian tinggi mempertimbangkan pekerjaan dalam bidang komunikasi.