Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Wahab, memberi amaran kepada penganjur Kejohanan Lebuhraya Tour de Iskandar supaya menyelesaikan masalah hutang kepada pemenang selewat-lewatnya 19 Julai depan.

Pengurus Team Sapura Cycling (TSC), Mohd Sayuti Zahit, kecewa apabila belum menerima hadiah kemenangan Tour de Iskandar Johor 2019 yang tamat April lalu.

Bagaimanapun, Abu Samah menegaskan beliau telah berjumpa dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi membantu penganjur menyelesaikan masalah tersebut.

"Saya telah bercakap dengan pegawai KBS dan mereka bersetuju untuk membantu pihak penganjur menyelesaikan isu melangsaikan wang hadiah kepada pemenang Tour de Iskandar," katanya.

"PKBM mengambil peranan untuk membantu menyelesaikan isu ini bagi memastikan setiap pembayaran dapat dilakukan kepada individu yang turut terlibat menjayakan kejohanan ini."

Penganjur Tour de Iskandar juga membuat permohonan kepada PKBM supaya memperuntukkan sedikit wang kemenangan kepada mereka berjumlah RM60,000.

Pelumba TSC, Mario Vogt, merangkul gelaran juara keseluruhan Tour de Iskandar Johor dengan catatan masa 8 jam 35 minit dan 46 saat.