Penganjuran perlumbaan bebasikal Tour de Iskandar Johor tahun lalu dipalit kontroversi apabila didakwa masih belum menyelesaikan pembayaran wang hadiah kemenangan kepada pemenang walaupun ia sudah hampir setahun berlalu.

Antara yang menerima kesan daripada kegagalan pembayaran itu ialah Team Sapura Cycling (TSC) yang sepatutnya menerima bayaran hampir RM20,000.

Menerusi satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi, pengurus TSC, Sayuti Zahit, berkongsi situasi sebenar yang berlaku.

"Benar (berlaku). Sepatutnya pihak penganjur menyelesaikan pembayaran dalam tempoh tiga bulan berdasarkan undang-undang UCI (Kesatuan berbasikal Antarabangsa).

"Tetapi sehingga ke hari ini, kami masih belum menerima hadiah wang kemenangan tersebut.

"Kami belum menghubungi penganjur kerana mereka sepatutnya menjalankan tanggungjawab mereka.

"Perkara seperti ini jarang berlaku tetapi mungkin disebabkan ia merupakan penganjuran kali pertama.

"Kami berharap pihak penganjur menjalankan tanggungjawab mereka untuk menjelaskan segala pembayaran.

"Saya juga dimaklumkan pihak kontraktor juga masih belum menerima pembayaran," katanya.