Petinju Great Britain, Ben Whittaker, menitiskan air mata selepas Arlen Lopez menafikan pingat emas buat dirinya dalam final kategori light heavyweight.

Pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia 2019, Whittaker dalam perjalanan memperbaiki pencapaian di Tokyo, namun harapannya untuk dikalung pingat emas berderai apabila tewas 4-1 kepada petinju Cuba, yang dinobat sebagai juara Olimpik.

Atlet berusia 24 tahun itu kelihatan kecewa ketika berada di podium, sambil memilih untuk meletakkan pingat perak yang diraih ke dalam poket baju.

"Setiap petinju tidak masuk ke final untuk menerima pingat perak. Setiap petinju dalam kategori ini mahukan pingat emas dan saya adalah salah satu daripada mereka," katanya.

"Saya benar-benar dapat berasakan dan percaya adalah masa saya.

"Saya dapat berasakan setiap sokongan daripada Great Britain, dan saya berasakan seperti seorang yang gagal, jadi saya tidak boleh meraikan pencapaian ini.

"Saya masih tidak boleh. Apabila melihatnya dalam beberapa tahun akan datang, ia mungkin satu pencapaian yang baik, tetapi saya sangat kecewa kerana mahukan pingat emas, bukan perak."


Di sebalik kekecewaannya, Whittaker memuji kemampuan lawannya.

Lopez menjadi petinju kelapan meraih pingat emas dalam dua kategori, selepas melakukannya ketika bersaing dalam kategori middleweight di Rio lima tahun lalu.

"Petinju yang tepat telah menang. Saya tidak memiliki perancangan yang rapi dan dia telah beraksi lebih baik daripada saya," kata Whittaker.

"Kemenangan ini membuktikan mengapa dia pemenang pingat emas dua kali Sukan Olimpik. Itu menunjukkan kemampuan sebenarnya.

"Dia seorang yang menakjubkan dan saya berharap untuk bertemunya lagi bagi memperbetulkan kesilapan hari ini."