"Saya tidak segembira dulu," kata penerjun negara, Wendy Ng Yan Yee, sebagai gambaran bahawa dua akan bersara daripada Sukan Olimpik selepas melakukan tiga penampilan sejak edisi di London pada 2012.

Wendy seakan-akan masih tidak dapat melupakan kegagalannya ke final acara 3 meter papan anjal individu wanita minggu lalu.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, dia turut berkongsi mengenai kecderaan bahu yang dialaminya menjelang saingan pusingan kelayakan berkenaan.

"Ia (bahu saya) kemungkinan besar tidak memerlukan pembedahan kerana saya sudah menjalaninya sebelum ini. Doktor memberitahu bahawa ia memerlukan lebih masa untuk pulih dan kerana itu saya perlu memakai anduh untuk mengelakkannya menjadi lebih buruk.

"Ia tidak seteruk yang disangka, jika patah (bahu), sudah pasti saya tidak akan mengambil bahagian. Walaupun sakit, saya masih mampu untuk melaluinya.

"Walaupun keputusannya agak mengecewakan, saya perlu berbangga dengan diri saya kerana tidak berputus asa.

"Sejujurnya, ia bukan terjunan terbaik saya, ia mungkin yang terburuk dalam karier saya.

"Sehingga kini saya masih tidak boleh melupakannya atau menonton semula terjunan saya kerana saya rasa ia benar-benar tidak bagus.

"Saya agak patah hati selepas pusingan kelayakan itu. Saya tidak segembira dulu.

"Saya perlu mencari semula kegembiraan saya sebelum kembali dalam sukan terjun," katanya.