Debaran sukan renang di Pusat Akuatik Tokyo makin terasa apabila perenang negara, Welson Sim, bakal turun dalam acara pertamanya, saringan 400 meter gaya bebas lelaki, esok.

Meskipun dihambat masalah prestasi, pemegang rekod kebangsaan 200 dan 400 meter gaya bebas itu berikrar melakukan catatan peribadi terbaik dalam penampilan keduanya di pentas berkenaan.

"Tahap saya ketika ini tidak seperti temasya lalu.

"Saya terburu-buru untuk berlatih selepas menjalani pembedahan akibat kemalangan (motosikal) apabila kembali hanya selepas 2-3 bulan tapi perkembangan saya bertambah baik.

"Saya amat berbangga terpilih mewakili Malaysia. Saya tidak akan ambil mudah dan berazam melakukan yang terbaik," katanya dalam Nadi Arena hari ini.

Catatan peribadi terbaik Welson dalam 400m gaya bebas ialah 3 minit 49.29 saat menerusi Kejohanan NSW State, dua tahun lalu.





Sementara itu, masa terbaiknya dalam acara 200nya gaya bebas pula adalah 1:47.36s ketika Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Welson berjaya mewakili negara dalam Sukan Olimpik buat kali kedua berturut-turut menerusi tiket peluang khas yang dipilih berdasarkan prestasinya dalam Sukan SEA Filipina 2019.