Hasrat jaguh negara, Welson Sim, memburu catatan terbaik 400m gaya bebeas lelaki tidak kesampaian apabila bergelut di peringkat saringan dalam penampilan kedua Sukan Olimpik, sebentar tadi.

Welson sekadar menamatkan renangannya dalam temasya di Tokyo di kedudukan keenam dengan catatan masa 3 minit 58.25 saat, kurang sembilan saat daripada catatan masa terbaiknya yang juga rekod kebangsaan.

Atlet kelahiran Kuching berusia 24 tahun itu juga tersasar daripada catatan yang dilakukannya ketika Sukan SEA Filipina dua tahun lalu, iaitu 3 minit 49.55 saat.

Dia, bagaimanapun, berpeluang menebus kegagalannya awal di Pusat Akuatik Tokyo apabila akan turun beraksi dalam acara 200m gaya bebas esok.




"400m gaya bebas sentiasa menjadi acara kegemaran saya tetapi kali ini catatannya agak perlahan, tidak seperti yang dijangkakan.

"Tapi dalam kejohanan seperti ini saya perlu berdepan dengan kekangan pandemik, pemulihan akibat kemalangan.

"Lantas, 200m akan menjadi fokus saya selepas ini," katanya di Nadi Arena.