Sunisa Lee melangkah ke hadapan dalam ketiadaan Simone Biles untuk meraih pingat emas dalam mengekalkan dominasi pasukan Amerika Syarikat dalam acara keseluruhan gimnastik wanita.

Atlet berusia 18 tahun itu menjadi wakil AS yang keenam untuk meraih pingat emas -- dan yang kelima berturut-turut -- selepas mengatasi wakil Brazil, Rebeca Andrade dan Angelina Melnikova.

Walaupun menarik diri daripada aksi final untuk memberi tumpuan kepada kesihatan mentalnya, Biles memberikan sokongan daripada tepi gelanggang ketika rakan sepasukannya beraksi.

Lee mengakui dia hampir meninggalkan gimnastik berikutan dua tahun yang sukar -- kedua-duanya di luar dan di gim.

Bagaimanapun, dia telah menampilkan aksi cemerlang dengan mengutip mata keseluruhan 57.433 untuk meraih pingat emas mengatasi Andrade, yang menjadi atlet Brazil pertama meraih pingat dalam Sukan Olimpik bagi acara gimnastik artistik.

"Rasanya gila, sukar untuk dipercayai. Ia bagai mimpi menjadi kenyataan," kata Lee. "Saya bahkan tidak tahu apa yang harus saya katakan. Dua tahun terakhir dengan COVID sungguh menyukarkan bagi saya sehingga satu saat memikirkan untuk meninggalkan sukan ini.

"Untuk berada di sini dan menjadi pemenang pingat emas Olimpik cukup menakjubkan."