Pemanah muda negara, Syaqiera Mashayikh, mempamerkan panahan cemerlang sebelum tewas 4-6 kepada peserta dari Jawatankuasa Olimpik Russia (ROC), Elena Osipova, dalam pusingan 32 acara recurve individu wanita Sukan Olimpik Tokyo hari ini.

Atlet berusia 21 tahun itu memulakan saingan pertama pusingan kalah mati di Lapangan Memanah Yumenoshima Park dengan panahan terbaiknya untuk memenangi set pembukaan 26-25 sebelum lawan dari Russia berkenaan, yang memenangi pingat Perak dalam acara berpasukan wanita, kembali mengikat kedudukan 2-2 hasil kemenangan 28-26 dalam set kedua.

Dia sepaututnya memanfaatkan panahan kurang kemas Osipova dalam dua set berikutnya tetapi hanya sekadar meraih satu mata dalam setiap set berkenaan selepas terikat 26-26 dan 25-25, masing-masing dalam set ketiga dan keempat.

Dalam set penentuan, Osipova melakukan dua panahan 10 mata untuk menyingkirkan Syaqiera dengan keputusan 29-23.