Pemain perseorangan wanita negara, Soniia Cheah, terpaksa akur dengan kekalahan kepada wakil Thailand, Ratchanok Intanon, apabila tewas sekaligus gagal mara ke pusingan seterusnya dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Soniia, yang meraih kemenangan pertama semalam tanpa turun ke gelanggang selepas lawannya, Laura Sarosi, mengalami kecederaan.

Turun dalam perlawanan penting, hanya kemenangan memastikan kemaraan dalam saingan Sukan Olimpik.

Ternyata Soniia tidak menyimpan sebarang tenaga apabila menampilkan permainan cemerlang apabila berjaya memenangi set pertama 21-19 dalam set pertama.

Bagaimanapun, bekas juara dunia, Ratchanok, kekal tenang menggunakan pengalamannya bangkit untuk memenangi set kedua.

Segalanya serba tidak menjadi buat Soniia apabila mata demi mata berjaya diraih lawan dari Thailand sebelum memenangi set penentuan 21-10.



"Saya berasa sangat bersyukur kerana dapat membuat penampilan dalam Sukan Olimpik. Dalam masa sama, saya memohon maaf kerana tidak berjaya meraih kemenangan dalam perlawanan ini," kata Soniia kepada wartawan Astro Arena, Shahrazad Sani.

"Saya telah melakukan yang terbaik dan mahu memberikan pujian kepada Ratchanok kerana berjaya mengawal tekanan dan mengucapkan semoga berjaya dalam peringkat seterusnya.

"Impian ke Olimpik merupakan sesuatu yang mahu saya capai kerana kakak saya (Lyddia Cheah) juga merupakan seorang pemain kebangsaan namun masalah kecederaan menyaksikan dia tidak berjaya capai ke peringkat ini. Saya mahu membuat mereka berbangga untuk terus beraksi sehingga ke tahap ini."