Sasaran skuad terjun sebagai prospek pingat dalam Sukan Olimpik 2020 adalah realistik.

Tanggapan itu diluahkan bekas penerjun negara yang juga pernah beraksi dalam temasya itu dalam edisi 2004, Bryan Nickson Lomas.

"Masing-masing ada peluang, mereka berkemungkinan besar akan ke final sebab kedua-dua acara Malaysia mempunyai standard yang tinggi.

"Saya harap mereka dapat beraksi dalam Sukan Olimpik," katanya dalam Nadi Arena sebentar tadi.





Namun, Bryan mengakui teruja untuk melihat aksi Pandalela Rinong dan Leong Mun Yee dalam acara 10 meter platform seirama.

Malaysia pernah meraih pingat perak dalam Olimpik Rio 2016 menerusi gandingan Pandalela-Cheong Jun Hoong.

Tambahnya, gandingan berbeza dalam edisi kali ini yang bermula 23 Julai hingga 8 Ogos depan itu tidak memberi sebarang masalah buat Malaysia untuk sekurang-kurangnya ke podium.

"Saya lebih cenderung untuk memberi tumpuan kepada 10m platform seirama.

"Semua tahu acara ini paling tinggi peluangnya untuk menaiki podium.

"Mana-mana gandingan pun mempunyai rekod tersendiri. Ia bukan satu isu, cuma bergantung kepada hari pertandingan, itu yang paling penting.

"Walaupun Mun Yee lebih senior, dia ada kelebihan daripada segi pengalaman," katanya.