Pelumba berbasikal trek negara, Shah Firdaus Sahrom, tidak mengendahkan tanggapan bahawa dia juga merupakan prospek pingat emas negara dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Di sebalik keyakinan serupa seperti yang disuarakan Datuk Azizulhasni Awang untuk berjuang dalam acara pecut dan keirin di Velodrom Izu, Rabu depan, dia mengelak untuk bercakap soal potensi pingat apabila hanya mahu fokus kepada kayuhanannya.

"Semuanya rasa OK sebab setiap trek, lain kayuhannya.

"Saya harap pada hari perlumbaan kelak semuanya OK," katanya ketika turun menguji venue pertandingan di Jepun buat julung kalinya hari ini.

Pelumba kelahiran Johor itu, bagaimanapun, enggan berkongsi sasaran peribadinya walaupun ada yang mula meletakkannya sebaris dengan Azizul dengan kemenangan terakhirnya ialah dengan memungut emas menerusi keirin dalam Kejohanan Kebangsaan Australia, Mac lalu.

"Saya ambilnya dari sudut positif. Kami datang dengan misi di sini.

"Saya tidak rasa tertekan, hanya mahu menikmati perlumbaan.

"Apa sahaja yang berlaku, saya akan ikut arus perkembangan, Insya-Allah," katanya.