Tokyo 2020: Schoenmaker tidak jangka pecah rekod dunia

Muzaffar Musa
Julai 30, 2021 08:19 MYT
Tatjana Schoenmaker memecahkan rekod Sukan Olimpik dalam acara 200 meter kuak dada wanita Rabu lalu tetapi dia tidak pernah menjangka akan memecahkan rekod dunia ketika meraih pingat emas acara itu hari ini.
Perenang Afrika Selatan itu memenangi pingat emas dengan mengetepikan dua wakil Amerika Syarikat (AS), Lilly King dan Annie Lazor, dalam final dengan memecahkan rekod dunia, 2 minit 18.95 saat.
King bermula dengan baik tetapi dalam pusingan terakhir, Schoenmaker mula mengorak langkah sebelum meninggalkan peserta lain.
Schoenmaker memecahkan rekod Sukan Olimpik, 2:19.16s, dalam pusingan saringan Rabu lalu sebelum mengatasi rekod dunia yang sebelum ini dipegang perenang Denmark, Rikke Moller Pedersen (2:19.11s), di Barcelona pada Ogos 2013.
"Saya mungkin akan mempercayainya apabila pulang ke rumah nanti. Saya tidak pernah menjangkakannya langsung," kata Schoenmaker.
"Saya benar-benar mahu fokus kepada perlumbaan saya. (King) memang memberikan tekanan buat saya apabila menyedari 100 meter pertamanya amat bagus.
"Ia amat luar biasa untuk dapat memenangi perlumbaan hari ini, ia sememangnya perlumbaan yang sukar. Kami semua berebut untuk melakukan yang terbaik.
"Ia masih belum dapat dihadam, seluruh prosesnya amat cepat. Saya amat teruja untuk menamatkan perlumbaan individu saya.
"Saya teruja untuk pulang ke rumah dan berjumpa dengan keluarga saya. Saya tidak tahu sama ada mahu mempercayainya sekarang atau tidak. Mungkin saya akan menangis dengan teruk ketika itu. Saya tidak dapat membayangkannya," katanya.

Your face when you realise you just set a new world record time ? pic.twitter.com/vN7LnqJxyV

— #Tokyo2020 (@Tokyo2020) July 30, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#Renang #Sukan Olimpik Tokyo 2020