Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyematkan amanat buat 30 atlet Malaysia agar membawa pulang pingat emas pertama negara menerusi Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Muhyiddin tampil di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi, untuk meniupkan semangat buat kontinjen daripada akuatik termasuk renang dan terjun, badminton, gimnastik serta memanah yang berlepas ke Jepun bagi menghadapi temasya sukan terbesar di dunia itu yang secara rasminya akan membuka tirai pada 23 Julai hingga 8 Ogos ini.

"Saya menaruh keyakinan bahawa anda semua akan berjuang berhabis-habisan demi Malaysia tercinta untuk mengibarkan Jalur Gemilang di mata dunia, untuk mengangkat martabat negara di pentas antarabangsa dan membuktikan anak Malaysia mampu menjadi atlet terbaik dalam sukan masing-masing.

"Yang paling utama memastikan lagu keramat Negaraku berkumandang di venue pertandingan nanti," ucapnya.





Atlet turut diiringi Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Duta Jepun ke Malaysia, Hiroshi Oka; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail; Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, dan chef-de-mission (CDM), Datuk Lee Chong Wei.

Senarai acara sukan dan atlet yang mewakili Malaysia ke Temasya Olimpik 2020:

Memanah
Individu lelaki: Khairul Anuar Mohamad
Individu wanita: Syaqiera Mashayikh

Olahraga
Lompat tinggi: Lee Hup Wei
100 m wanita: Azreen Nabila Alias

Badminton
Perseorangan lelaki: Lee Zii Jia
Perseorangan wanita: Soniia Cheah
Beregu lelaki: Aaron Chia-Soh Wooi Yik
Beregu wanita: Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean
Beregu campuran: Chan Peng Soon- Goh Liu Ying

Berbasikal
Keirin lelaki: Azizulhasni Awang, Shah Firdaus Sahrom
Pecut lelaki: Azizulhasni Awang, Shah Firdaus Sahrom

Terjun
Tiga meter papan anjal individu wanita: Nur Dhabitah Sabri, Ng Yan Yee
10 meter platform individu wanita: Pandelela Rinong, Cheong Jun Hoong
10 meter platform seirama wanita: Pandelela Rinong / Leong Mun Yee

Golf
Individu lelaki: Gavin Green
Individu wanita: Kelly Tan

Gimnastik
All around wanita: Farah Ann Hadi
All around lelaki: Jeremiah Loo

Pelayaran
Laser lelaki: Khairulnizam Mohd Afendy
Laser radial wanita: Nur Shazrin Mohd Latif
International 470 wanita: Nuraisyah Jamil, Juni Karimah Noor Jamali

Menembak
50 meter rifle wanita 3 Position: Suryani Taibi

Renang
200m dan 400m gaya bebas lelaki: Welson Sim
100m dan 200m kuak dada wanita: Phee Jinq En