Mesyuarat Chef de Mission Sukan Olimpik Tokyo mendedahkan tiga atlet dikesan positif COVID-19.

Setiausaha agung Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib, mendedahkan hasil mesyuarat CDM bersama wartawan Astro Arena, Bazly Azmi.

Tiga kes positif COVID-19 mengundang kebimbangan atlet, jurulatih dan pegawai yang mendaftar sudah mula masuk di perkampungan Sukan Olimpik Tokyo.

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan penganjur memberi jaminan keadaan terkawal namun prosedur operasi standard (SOP) terpaksa diperketatkan.

Tindakan itu lebih terarah kepada negara yang diletakkan dalam kategori khas seperti Malaysia yang mencatatkan jumlah kes positif COVID-19 yang tinggi.

"Kami mendapati beberapa kes dan sukan yang terlibat menjejaskan perjalanan acara di Tokyo nanti. Pihak penganjur dan IOC sedang meneliti peraturan acara yang baru yang bersesuaian," katanya.

Apabila ditanya atlet dari negara mana yang didapati positif, Nazzifuddin berkata, "Ia tidak didedahkan tetapi selepas 8000 atlet dan pegawai yang tiba ke Jepun, hanya tiga didapati positif COVID-19."

"Dengan setiap SOP yang telah kami tetapkan dan berharap dapat memastikan setiap atlet negara bebas COVID-19."

Malaysia ketika ini diletakkan dalam kategori khas bersama 11 negara lain di mana atlet perlu menjalani ujian calitan setiap hari sepanjang temasya.