Pengalaman kejohanan merupakan jurang perbezaan dalam kualiti yang ditampilkan oleh Welson Sim dan Phee Jinq En dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Perkara itu disuarakan Olimpian negara, Daniel Bego -- yang membuat penampilan tunggal dalam edisi di Beijing pada 2008 -- apabila berpendapat pendedahan kompetitif di Amerika Syarikat (AS) menjadi kelebihan Jinq En sehingga berjaya memperbaiki rekod kebangsaan 100 meter kuak dada wanita, berbanding yang tenggelam Welson dalam temasya di Jepun.




"Prestasi Jinq En sangat baik apabila dapat memecahkan rekod kebangsaan selain menyamai rekod peribadinya dalam kuak dada 200m. Ia merupakan satu fenomena buatnya.

"Dari situ kita boleh tengok perbezaannya dengan Welson yang mungkin tidak mengharungi persiapan terbaik.

"Satu perkara lagi ialah mengenai kejohanan yang sudah lama tidak dianjurkan di Malaysia.

"Bertanding dalam Sukan Olimpik tanpa pengalaman menyertai kejohanan agak sukar.

"Jinq En pula sempat berlatih dan menyertai pertandingan di AS di sebalik SOP (prosedur operasi standard) yang ketat.

"Saya rasa itulah yang membezakan mereka," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.