Tokyo 2020: Peng Soon-Liu Ying ratapi kekalahan kedua

Ammar Hakim
Julai 25, 2021 03:49 MYT
Chan Peng Soon-Goh Liu Ying menyaksikan peluang untuk mara ke suku akhir saingan beregu campuran makin malap selepas tewas straight set 12-21, 15-21 kepada wakil Jerman, Mark Lamsfuss-Isabel Herttrich, sebentar tadi.
Wakil negara itu, yang turun lewat dalam perlawanan semalam, kelihatan tidak sempat pulih daripada kepenatan ketika bertemu Tang Chun Man-Tse Ying Suet di mana mereka tewas.
Lamsfuss-Herrtich menyedari dan memberikan tekanan sejak permulaan permainan dengan serangan demi serangan menyaksikan Peng Soon-Liu Ying gagal memberikan jawapan.
Gandingan ranking ke tujuh itu berusaha untuk melakar kebangkitan dalam set pembukaan namun gagal apabila tewas 12-21.
Mengetahui wakil Malaysia akan berusaha mendapatkan kemenangan dalam set kedua, Lamsfuss-Herrtich menggunakan taktikal sama dan melancarkan serangan demi serangan ke arah Liu Ying.
Kemenangan 21-15 dilakar wakil Jerman itu memastikan harapan mereka terus hidup dalam saingan Kumpulan D.
Pemenang pingat perak Rio 2016 akan bertemu pasangan pilihan kedua dari China, Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping dalam perlawanan seterusnya.
#Malaysia #Chan Peng Soon #Goh Liu Ying #Jerman #Isabel Herttrich #Mark Lamsfuss