Pemanah recurve wanita negara, Syaqiera Masyayikh, tidak menyifatkan pertemuan dengan Elena Osipova dalam pusingan 64 Sukan Olimpik Tokyo 2020, esok, sebagai satu tekanan.

Pusingan kelayakan Jumaat lalu berlangsung di Padang Yumenoshima Ranking namun sejak acara berpasukan, ia beralih ke Lapangan Memanah Yumenoshima Park.

"Dia berkelebihan kerana sempat menguji lapangan pertandingan esok berikutan beraksi dalam acara berpasukan semalam, saya tidak pernah membidik di dalam stadium itu jadi ia satu kelebihan buatnya.

"Saya tidak kisah. Yang penting saya tumpu kepada diri sendiri.

"Ia akan memudahkan saya agar tidak terlalu memikirkan soal pungutan mata dan lawan," kata atlet dari Johor itu.

Sementara itu, dua hari menjelang pusingan pertama acara recurve lelaki pula, Khairul Anuar Mohamad, mengakui perlu meningkatkan aspek mental selain memperbaiki teknik panahannya bagi mengelak kesilapan mudah.

Naib juara Kejohanan Memanah Dunia 2019 itu dijadualkan berdepan wakil Finland, Antti Vikstrom, dalam saingan kalah mati pada rabu ini.

"Ketika sesi kelayakan, angin di sini memang mengelirukan.

"Tapi Ia bukan halangan utama cuma saya perlu tekankan tentang fokus," katanya.