Sekalipun Sukan Olimpik Tokyo hanya akan berlangsung tiga tahun lagi, barisan pelayar negara berdepan cabaran getir untuk melayakkan diri apabila Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) telah mengurangkan 30 slot atlet untuk temasya itu.

Walaupun jawatankuasa itu masih mengekalkan sebanyak 10 acara untuk sukan pelayaran dalam temasya Tokyo 2020, pengurangan atlet daripada 380 kepada 350 orang nyata memberi impak besar, khususnya kepada negara seperti Malaysia.

Penyelarasan ini dibuat bagi menjadikan penyertaan seimbang di antara peserta lelaki dan wanita berbanding dalam Sukan Olimpik Rio tahun lalu.

Kejohanan Pelayaran Dunia 2018 bakal dijadikan pusingan kelayakan ke Tokyo 2020, dan hanya 40 peratus kuota diperuntukkan dalam kejohanan itu manakala selebihnya terbuka untuk slot antara benua.

Kejohanan itu akan berlangsung di Aaarhus, Denmark, dari 30 Julai hingga 12 Ogos 2018.

"Slot itu memang ada, cuma apa yang merisaukan kami adalah kuota Sukan Olimpik. Sebelum ini kami diberikan 47 kuota dan kini hanya tinggal 35 kuota.

"Jadi, perancangan perlu dibuat dengan rapi kerana kelayakan pertama diadakan sebelum Sukan Asia," kata atlet pelayaran negara, Khairulnizam Mohd Afendy.

Rio 2016 menyaksikan Malaysia mempunyai dua wakil, iaitu Khairulnizam Affendy dan Nur Shazrin Abdul Latif, yang beraksi dalam acara laser standard dan laser radial.

"Bagi saya, selagi perlumbaan belum bermula, peluang masih terbuka. Kami masih memiliki hampir 10 bulan untuk melakukan segala persiapan.

"Latihan serta penyertaan dalam banyak perlumbaan Eropah boleh membantu persiapan kami," tambah Khairulnizam.

Acara pelayaran dalam Tokyo 2020

Lelaki

• RS-X: Windsurfer
• Laser: One Person Dinghy
• Finn: One Person Dinghy (heavyweight)
• 470: Two Person Dinghy
• 49er: Skiff

Wanita

• RS-X: Windsurfer
• Laser Radial: One Person Dinghy
• 470: Two Person Dinghy
• 49er: Skiff

Campuran

• Nacra 17 Foiling: Mixed Multihull