Dua pelayar negara, Khairulnizam Afendy dan Nur Shazrin Abd Latif, amat mengharapkan tuah terutama keadaan cuaca di Teluk Enoshima akan menyebelahi mereka esok.

Mereka mempunyai tempoh 24 jam untuk berehat dan mengatur semula strategi selepas mengharungi enam perlumbaan Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang cukup memenatkan.

Masing-masing bersaing dalam acara laser dan laser radial sebelum ini bergelut untuk memacu bot dalam cuaca yang mencabar.

Bagaimanapun, mereka masih berpeluang untuk merebut tempat ke penentuan pingat pada Ahad ini dengan syarat harus menamatkan kesemua 10 perlumbaan dalam kelompok 10 terbaik.

Selepas enam perlumbaan, Khairulnizam di tangga ke-26 keseluruhan sementara Nur Shazrin ke-24.

"Kalau angin kuat, saya tidak boleh lawan mereka (pencabar) tapi jika tiupan sederhana atau biasa, saya berpeluang tinggi.

"Jadi saya perlu banyak belajar tentang soal itu.

"Saya harap dapat perbaiki kedudukan dan buat yang terbaik dalam setiap perlumbaan," kata Nur Shazrin.




Sementara itu, Khairulnizam juga belum mahu menyerah untuk terus mendaki carta dalam usaha menempatkan diri dalam final.

"Saya tidak mahu cakap hendak masuk 10 terbaik tapi saya ingin perbaiki kedudukan.

"Saya perlu cuba memasuki kelompok 10 terbaik dalam perlumbaan selepas ini, manalah tahu ada rezeki. Insya-Allah saya akan buat yang terbaik," katanya pula.