Penerjun negara, Pandelela Rinong, mengakui perlu segera mengatur emosinya selepas nasibnya bagaikan di hujung tanduk untuk melepasi pusingan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020, hari ini.

Dia -- yang meraih slot terakhir separuh akhir, terjun 10 meter platform individu di Pusat Akuatik Tokyo, esok.

"Tadi saya rasa sangat pelik. Saya rasa lompatannya OK tapi biasalah masa kejohanan perasaan menjadi agak teruja lalu menjadi agak tinggi berbanding ketika sesi latihan.

"Jadi ada beberapa kesilapan terutama di terjunan keempat tapi lepas berlatih semula tadi, saya rasa esok ia akan menjadi lebih baik," katanya di Nadi Arena.

Pandelela bermula konsisten sehinggalah terjunan keempatnya yang hanya mendapat 28.80 mata. Kesilapan itu menyaksikan atlet dari Sarawak itu bagaikan berada di hujung tanduk untuk melayakkan diri ke separuh akhir.

Mujur penerjun-penerjun selepas gilirannya tercicir mata dan ia menyelamatkan kempennya dengan menamatkan sesi kelayakan di tempat ke -18.

"Saya tidak tengok, saya hanya tengok diri sendiri sahaja. Semua peserta ada yang dapat menampilkan aksi terbaik dan ada pula yang tidak. Dalam kejohanan apa-apa pun boleh berlaku," katanya lagi.






Sementara itu, Cheong Jun Hoong tidak berselindung dengan kekesalan bergelut dengan dirinya sendiri.

Kesilapan awal juara dunia 2017 itu sewaktu memasuki air menyaksikannya hanya meraih 36 mata.

Kebangkitan yang diharapkan bagaimanapun tidak menjelma dalam terjunan kedua menyerlah dengan diberi 34.8 mata.

Ia menjejaskan peluangnya bahkan terjunan terbaiknya merangkul 65.8 mata sahaja, sekali gus mengakhiri kempennya di Jepun apabila menamatkan saingan di kedudukan ke-26.

"Saya cuba menikmati saingan ini. Cuba bersungguh-sungguh di samping jurulatih, Zhu Liang.

"Pujian terhadapnya, selama setahun ini dia susah (berdepan kesukaran) dan saya pun begitu. Kemudian datang pula COVID-19.

"Telah banyak yang saya lalui tetapi saya sangat bersyukur sistem sokongan banyak membantu saya.

"Ramai yang masih menaruh harapan bahawa saya masih boleh mempamerkan aksi baik, tapi saya harus akui hari ini bukan yang terbaik walaupun yakin mampu melakukan yang lebih baik lagi.

"Saya kasihan dengan jurulatih sebab dia juga berdepan tekanan dan kesusahan tapi masih mahu melatih saya.

"saya amat bersyukur dan berterima kasih dengannya," kata Jun Hoong.