Pelayar wanita negara, Nur Shazrin Latif, menebus kehampaannya dalam perlumbaan ketiga untuk bangkit menamatkan perlumbaan keempat di tangga ke-14 hari ini.

Nur Shazrin mencipta kejutan di Teluk Enoshima semalam apabila menamatkan perlumbaan pembukaan di tempat ketiga.

Bagaimanapun, penundaan perlumbaan kedua pada hari yang sama berikutan masalah ketiadaan angin menjejaskan momentumnya sehingga terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan itu di tempat ke-25.

Dalam perlumbaan ketiga hari ini, pelayar muda negara itu sekali lagi tidak dapat mempamerkan aksi terbaiknya dan merosot ke tangga ke-33 tetapi bangkit menebus kehampaan itu dengan menamatkan perlumbaan keempat di tangga ke-14.

Nur Shazrin kini berada di tangga ke-17 keseluruhan berbaki enam perlumbaan.

Hanya 10 pelumba terbaik selepas 10 perlumbaan akan bersaing dalam perlumbaan akhir bagi perebutan pingat.