Nur Dhabitah Sabri melangkah ke final ketiganya dalam sejarah Sukan Olimpik selepas menamatkan pusingan separuh akhir acara 3 meter papan anjal individu wanita di tangga keenam sebentar tadi.

Pemenang empat pingat emas Sukan SEA itu, yang pernah beraksi dalam final acara 3m papan anjal seirama wanita dan 10m platform seirama dalam edisi di Rio pada 2016, mengumpulkan 312.06 mata daripada lima terjunan di Pusat Akuatik Tokyo.

Dalam pusingan kelayakan semalam, penerjun berusia 22 tahun itu menamatkan saingan di tangga ke-10 dengan 291.60 mata.

Hanya 12 peserta terbaik di peringkat separuh akhir layak beraksi dalam final esok, di mana juara bertahan dari China, Shi Tingmao (371.45 mata), menduduki tangga teratas di depan rakan senegaranya, Wang Han (346.85), manakala wakil Kanada, Jennifer Abel (341.40) di tempat ketiga.

*Kredit foto: asiana.my