Berbaki empat hari menjelang majlis penutupan Sukan Olimpik Tokyo hujung minggu ini, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) masih belum menamakan pembawa bendera negara dalam majlis itu.

Bagaimanapun, badan induk sedang menimbangkan nama penerjun negara, Cheong Jun Hoong dan Pandalela Rinong, memandangkan agak sukar untuk atlet dari sukan berbasikal trek, iaitu Datuk Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus Sahrom, di mana jarak venue pertandingan mereka di Izu terletak jauh dari Tokyo.

Mom turut menjelaskan tidak ramai atlet akan turut serta dalam perarakan itu kerana kebanyakan mereka sudah pulang ke tanah air selepas tamat acara masing-masing.

Setiausaha Agung Mom, Datuk Nazifuddin Najib, berkata kepada wartawan Nadi Arena, Adam Zamri: "Kami akan memilih salah seorang daripada dua penerjun ini untuk menjadi pembawa bendera tetapi jika ada masalah dan keadaan yang tidak mengizinkan, mungkin kita tidak ada pembawa bendera.

"Kami perlu melihat keadaannya tetapi amat berharap penerjun kita dapat memberikan prestasi terbaik," katanya.