Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyasarkan tiga pingat untuk dibawa pulang atlet negara dalam temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang akan bermula Jumaat ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, turut membuat pengumuman berani apabila meletakkan sasaran pingat emas pertama negara bakal dibawa pulang.

"Kita perlu menyederhanakan harapan atau sandaran kita berkaitan pingat. Saya yakin dan tahu semua rakyat Malaysia inginkan pingat emas.

"Daripada tiga pingat (yang disasarkan) ini, tentu sekali satu daripadanya adalah kilauan emas yang ditunggu-tunggu. Saya anggap meletakkan sasaran tiga pingat - satu daripadanya emas adalah sebagai ikatan di antara rakyat dan juga yang sedang berjuang di sana," katanya dalam sidang media maya selepas Mesyuarat Lembaga Pengurus Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Selain itu, beliau turut mengumumkan sasaran tiga pingat emas bagi kontinjen negara di Sukan Paralimpik Tokyo yang akan berlangsung hujung bulan depan.

"Sandaran adalah kepada sukan olahraga, powerlifting, badminton dan juga memanah yang diharap dapat menghasilkan prestasi cemerlang di Tokyo kelak," katanya.






Sasaran rasmi kontinjen negara pastinya disambut baik oleh atlet negara terutama mereka yang diletakkan sebagai potensi memenangi pingat.

Tatkala Datuk Azizulhasni Awang sudah sedia menggalas tanggungjawab untuk memastikan Lagu Negaraku berkumandang di Jepun, prospek lain juga bersedia melunaskan sasaran berkenaan.

Antaranya atlet terjun negara, Leong Mun Yee, dengan menyatakan perkara itu Nadi Arena sebentar selain berkongsi mengenai perkembangan persiapan penerjun negara sejurus tiba di Tokyo.

"Saya tetap letakkan sasaran pingat tanpa mengira warnanya. Saya kekal dengan sasaran dua tahun lalu dan akhirnya dianjurkan tahun ini jadi saya rasa teruja.

"Saya dapat tidur selama tiga jam setengah ketika perjalanan dan selepas semalaman saya berasa lebih baik.

"Cuaca agak terik pada tengah hari. Kolam hanya akan dibuka esok maka saya berkurung di dalam bilik sahaja," katanya.