Olimpian negara, M Kumaresan, melihat tempo kayuhan Datuk Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus Sahrom semakin positif biarpun terpaksa melalui peringkat repechage sebelum layak ke pusingan kedua acara pecut berbasikal trek, Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Bekas wakil negara dalam Sukan Olimpik 1988 dan 1992 itu menganggap ada baiknya kedua-dua wakil negara tersebut terpaksa bekerja keras di Veldorom Izu, petang tadi.

"Daripada segi catatan masa (pada awalnya) kedudukan mereka agak terkebelakang, dan selepas itu termasuk dalam repechage mereka mula melakukan yang terbaik dan tahap persembahan mereka kekal sebegitu.

"Mungkin kita akan dapat lihat satu persembahan yang lebih bagus.

"Ini akan membantu mereka membina momentum dalam keirin kelak agar lebih bersedia.

"Bagus juga untuk mereka berlumba banyak kali dan bertemu pelumba-pelumba yang taktikalnya lebih baik," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.




Azizulhasni -- yang akan berdepan wakil Belanda, Jeffrey Hoogland, esok -- selepas perlumbaan mendedahkan bahawa pelumba Eropah memiliki kelebihan kerana dapat mengasah keupayaan mereka menerusi beberapa kejohanan sebelum ke Jepun.

Justeru, biarpun ramai gusar kerana tumpuan utama negara ialah keirin, Kumaresan berpandangan pelumba negara hanya memerlukan pendekatan yang tepat dalam pusingan ketiga esok untuk mengelak kehausan kudrat sambil mengambil kesempatan yang ada untuk lebih serasi dengan Velodrom Izu itu.

"Sudah pasti akan lebih memenatkan (kepada mereka) sebab terpaksa berlumba banyak kali dan mengeluarkan tenaga yang lebih.

"Tapi ia juga membolehkan mereka membina momentum di trek ini dan rentak tersebut.

"Biasanya latihan berbeza sedikit dengan perlumbaan sebenar. Jadi dengan rentak tersebut mereka akan lebih bersedia untuk menghadapi keirin.

"Ia tidak banyak berbeza sebab ia melibatkan pecutan juga. Cuma ia melibatkan taktikal, skil dan nasib juga memainkan peranan dalam keirin ini.

"Kalau pelumba di posisi yang salah, ia boleh membuatkan pelumba ketinggalan.

"Detik sangat penting kerana mereka perlu membuat keputusan dengan cepat.

"Pada dasarnya pelumba Eropah lebih bagus sebab acara pecut ini menjurus kepada kekuatan dan taktikal.

"Sudah pasti (jurulatih negara) John Beasley sudah tahu apa yang akan dibuat dengan mengadakan analisis rakaman tentang apa yang perlu dilakukan dan apakah pencabar-pencabar mereka akan lakukan.

""Dia sudah biasa berlumba juga di peringkat yang tinggi ini. Kita semua berharap mereka dapat melakukan yang bagus pada hari esok," katanya lagi.

*kredit foto: asiana.my