Kapten memanah negara, Khairul Anuar Mohamad, melepasi detik sukar ketika peringkat kelayakan recurve individu lelaki Sukan Olimpik Tokyo 2020, tengah hari tadi.

Tiupan angin mengelirukan memberi kesan terhadap beberapa jaguh utama dunia namun Khairul tetap berjaya menghuni ranking ke-20 dengan 661 mata di Lapangan Memanah Yumenashima Park itu.

Arah tiupan angin yang tidak konsisten memberi masalah kepada 64 pemanah yang beraksi di peringkat kelayakan.

Antara yang terkesan ialah pemanah di ranking kedua dunia, Balzan Bazar Ghapov, yang menghuni tangga ke-34 sementara ranking ketiga dunia, Nicholas D'Amour, di tangga ke-23.

Nasib juara dunia 2019 itu beraksi baik dalam pusingan pertama tetapi mula terjejas bermula end ketujuh.

Begitupun, dia berjaya mengawal situasi itu untuk menamatkan cabaran pada kedudukan ke-20.

"Persembahan saya agak kurang memuaskan.

"Apapun, saya terpaksa berpuas hati dengan keadaan angin walaupun bukan masalah utama, tapi ia memberi kesan kepada tahap persembahan saya.

"Persiapan saya masih belum cukup sebab lebih banyak berlatih tanpa pendedahan (menyertai kejohanan).





Jaguh Korea Selatan, Kim Je-deok, mengungguli kelayakan dengan 688 mata.

Dalam masa sama, Syaqiera Mashayikh mempamerkan aksi baik dalam temasya ini apabila memecah catatan peribadi terbaik di peringkat kelayakan recurve individu wanita.

Pemanah berusia 21 tahun itu membidik 630 mata, lebih 11 mata berbanding catatan lama yang dilakukan di Perancis, Mei lalu.

Lebih menarik, pemanah kelahiran Segamat, Johor, itu melangkah ke Jepun dengan menghuni ranking ke-355 dunia tetapi mengatasi 21 pemanah lebih berpengalaman di peringkat kelayakan.

Justeru, Syaqiera mara ke pusingan pertama menentang Elena Osipova dari Jawatankuasa Olimpik Russia (ROC) pada Selasa depan.

Cuma, impian untuk beraksi dalam acara berpasukan campuran tidak kesampaian apabila Malaysia menamatkan cabaran di ranking ke-19 apabila hanya 16 negara terbaik akan meneruskan kemaraan.

"Angin kerap bertukar-tukar, ia sedikit mengganggu," kata Pengarah Kejurulatihan Memanah negara, Lee Jae-hyun.