Pemain golf wanita negara, Kelly Tan, hanya tidur setengah jam sejurus tiba di Tokyo pagi tadi sebelum bergegas ke Kelab Golf Kasumigaseki untuk menyesuaikan diri dengan keadaan lapangan biarpun saingan wanita hanya akan bermula Rabu ini.

Penerbangannya dari Los Angeles, Amerika Syarikat ke Tokyo mengambil masa 10 setengah jam dan Kelly hanya sempat tidur beberapa jam ketika berada dalam pesawat.

Pemain wanita nombor satu negara itu, dalam satu perkongsian bersama wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, berkata: " Saya baru sahaja tiba di sini seawal jam 5 pagi tadi. Saya baru tiba dari LA dan mahu menyesuaikan tubuh saya dengan waktu di sini, jadi saya memilih untuk berehat sehari bagi melihat Gavin (Green) beraksi supaya saya boleh belajar serba sedikit mengenai lapangan di sini.

"Saya fikir lapangan ini dalam keadaan terbaik. Saya tidak pernah beraksi di sini tetapi ia kelihatan amat baik dan cantik, jadi saya teruja untuk berlatih di sini."

Kelly, yang pernah beraksi dalam Siri Jelajah LPGA Amerika Syarikat, ditemani tunangnya, Dustin Lattery, sebagai kedi untuk penampilan keduanya di pentas Sukan Olimpik selepas edisi di Rio pada 2016.

Ketika itu, dia hanya mampu menduduki tempat ke-51, sekaligus mahu memastikan kedudukan lebih baik dalam edisi kali ini

"Saya memiliki waktu rehat selama 10 hari, jadi saya hanya memberbaiki serba sedikit permainan dan hayunan saya. Saya hanya fokus kepada kecergasan saya di mana saya bangun awal setiap hari, berlatih dan melaluinya dengan tenang," katanya lagi.