Tuah mengiringi pemain golf negara, Kelly Tan, dalam pusingan terakhir saingan wanita Sukan Olimpik Tokyo 2020 apabila mencatatkan 64 pukulan tujuh di bawah par untuk menamatkan saingan di tempat ke-34 keseluruhan.

Kelly mendedikasikan kejayaan itu buat keluarganya di Batu Pahat, Johor, yang mengirimkan video permbakar semangat buatnya selepas lapan bulan tidak bersua.

Saingan hari keempat itu diteruskan meskipun terdapat amaran cuaca buruk yang mungkin membadai Kelab Golf Kasumigaseki.

Kelly merekodkan lapan birdie termasuk di lubang ke-16 yang sering menjadi badi buatnya sebelum ini.

Secara keseluruhan, pemain wanita nombor satu negara itu melakukan 282 pukulan dua di bawah par untuk menamatkan saingan di tempat ke-34 daripada 60 peserta, sekali gus jauh mengatasi pencapaian dalam edisi di Rio lima tahun lalu, di mana dia menduduki ranking ke-51 keselurunan.

Kelly juga mendedahkan bahawa situasinya dalam edisi kali ini jauh lebih sukar berbanding lima tahun lalu memandangkan dia terpaksa berjauhan dengan keluarga dan hadir ke Tokyo tanpa jurulatihnya, Gary Cilchrist, berikutan pandemik COVID-19.

"Saya gembira dapat melakar tujuh di bawah par sebelum hujan mula turun," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Adam Zamri.

"Saya amat beremosi ketika menonton video keluarga saya, saya tidak dapat bercakap mengenainya.

"Terima kasih atas sokongan anda, saya telah memberikan yang terbaik dan akan melakukan yang lebih baik selepas ini," katanya lagi.