Penganjur Sukan Olimpik Tokyo memohon maaf selepas wakil Ukraine yang memenangi pingat gangsa acara renang artistik diumum mewakili Majlis Olimpik Russia (ROC).

Gandingan Ukraine, Marta Fiedina dan Anastasiya Savchuk, meraih pingat gangsa dalam acara rutin bebas Rabu lalu, menamatkan saingan di belakang ROC dan China.

Namun, Fiedina dan Savchuk dinobatkan sebagai wakil ROC oleh penyiar berbahasa Perancis, sehingga menimbulkan rasa malu bagi penganjur Tokyo 2020.

Ia merupakan kesilapan yang sangat malang kerana konflik ketenteraan yang melanda antara Russia dan Ukraine ketika ini.

Jurucakap jawatankuasa penganjur Tokyo 2020 Masa Takaya berkata, "Saya ingin meminta maaf kepada pasukan Ukraine.

"Semasa upacara pemberian pingat untuk acara duet renang artistik, secara tidak sengaja telah mengumumkan negara yang berbeza untuk pasukan Ukraine yang meraih pingat gangsa.

"Itu adalah kesalahan operasi semata-mata, jadi kami ingin memohon maaf."