Walaupun berusaha mengetepikan kesakitannya, Shah Firdaus Sahrom, mengakui kemalangan dalam saringan pertama semalam memberi kesan besar terhadap baki kempennya.

Pelumba berbasikal trek negara itu rebah ketika diasak dalam pusingan pertama keirin, Sukan Olimpik Tokyo 2020, tetapi ia tidak mematahkan semangatnya untuk mencipta sensasi dalam repechage sebelum perjalanannya terhenti di peringkat suku akhir hari ini dalam usaha mengiringi Datuk Azizulhasni Awang.





Sejurus layak menerusi repechage itu, dia dikejarkan ke Hospital Universiti Shizuoka Juntendo tetapi tahap fizikal nyata tidak membenarkannya untuk mencapai kemuncak prestasinya.

"Ketika di bawa ke hospital semalam, doktor menasihati saya agar tidak meneruskan perlumbaan.

"Saya berasa sebak tetapi tetap mahu teruskannya.

"Saya akui hari ini saya bergelut untuk pulih daripada kemalangan itu.

"Bila berlumba saya tidak rasa apa-apa, tapi melakukan pecutan kaki saya terasa kosong (tidak bertenaga). Memang sedihlah (dengan kejadian ini)," katanya.