Perenang negara, Phee Jinq En, mengakui tidak kekok untuk mengamalkan norma baru dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Berikutan peningkatan kes positif COVID-19, atlet dan pegawai setiap kontinjen terikat dengan peraturan ketat membabitkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di venue pertandingan.

Jinq En, bagaimanapun, tidak berdepan masalah untuk membiasakan diri dengan situasi itu sekalipun ia tampak menguji kekuatan mentalnya.

"Pada awal ketibaan saya di sini, ia tidak begitu baik kerana saya kepenatan tetapi kini, ia semakin baik," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

"Saya fikir saya sudah membiasakan diri dengannya kerana kita kini sudah memakai pelitup muka selama hampir dua tahun, jadi saya fikir ia sudah menjadi baik.

"Saya fikir saya sedang berada di tahap terbaik, ia kini lebih kepada permainan mental," katanya.

Amalan baru itu juga menyaksikan kesemua atlet dikehendaki mengalungkan sendiri pingat yang dimenangi mereka.

Jinq En, yang akan membuat penampilan keduanya di pentas Sukan Olimpik, akan memulakan cabarannya dalam acara 100 meter kuak dada wanita hujung minggu ini.